Friday, August 19, 2011

PETUA MENCARI MALAM LAILATUL QADAR

(Petikan daripada Kitab Jauhar Al-Mauhub -Muka Surat 66 & 67 )

Assalammu'alaikum wbt.
 
Awal Ramadan tahun ini (1 Ramadan 1432H)  jatuh pada hari Isnin (1-Ogos-2011) maka mengikut;

1. Pendapat pertama (Imam Nawawi) – malam Lailatul Qadar insya'Allah akan jatuh pada malam yang ke-29 (hari Ahad, 28-Ogos-2011 malam Isnin)

2. Pendapat kedua (Sheikh Wahab) - malam Lailatul Qadar insya'Allah jatuh pada malam yang ke-21 (hari Sabtu, 20-Ogos-2011 malam Ahad)

Berikut adalah petikan dari kitab yang tersebut di atas (lampiran adalah dari kitab asal);
 
Dan adalah malam Lailatul Qadar itu pada Imam Syafie Radiyallahu’anhu tersimpan ia di dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadan tetapi pada malam “gasal” (ganjil) itu terlebih harap akan dia dan terlebih diharap daripada segala malam yang “gasal” (ganjil) itu malam yang dua puluh satu dan malam yang dua puluh tiga.

Dan yang “rajihnya” bahawasanya malam Lailatul Qadar itu melazimi ia akan malam yang tertentu maka tiada terpindah ia daripada seperti barang yang diriwayatkan daripada Abas bahawasanya malam Lailatul Qadar itu malam yang dua puluh tujuh kerana diambil daripada firman Allah ta’ala “Inna annzalnahu filailatul qdr” hingga “Salam mun hi ya” … maka bahawasanya kalimah “ hi ya’ itu dua puluh tujuh daripada segala kalimah surah ini dan iaitu kinayah daripada malam lailatul qadar dan atas perkataan inilah diamalkan pada segala masa, segala negeri dan iaitu mazhab kebbanyakan Ahli al-‘Ilmi.

Dan kata qil; “Bahawasanya malam lailatul qadar itu terpindah ia tiada tetap ia pada malam yang tertentu maka terkadang ia pada dua puluh satu dan terkadang ada ia pada malam dua puluh lima demikianlah dan atas perkataan ini menjalani dua ahli Sufi dan menyata mereka itu akan “dhabit” dan kaedah bagi yang demikian itu dan iaitu;

- jika adalah awal puasa pada hari Jumaat maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Sabtu maka itu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa pada hari Ahad maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Selasa maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa pada hari Rabu maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka malam lailatul qadar malam dua puluh satu

Dan telah memilih Imam Nawawi didalam  Majmu’ dan Fatawa akan qaul dengan berpindah dan katanya di dalam Raudah dan iaitu yang kuat. (Bajuri)

Dan tersebut di dalam Hasyiyah Fathul Wahab, maka;

- jika awal puasa pada hari Ahad atau hari Rabu maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa hari Selasa atau Jumaat maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa hari Sabtu maka iaitu malam dua puluh tiga malam lailatul qadar

Kata Abu Al-Husan: “Dan pada masa sampai aku akan tahun lagi-lagi tiada luput akan daku malam Lailatul Qadar dengan ini kaedah yang tersebut Barmawi dan Qalyubi”


Wallahu'alam

Sumber : Dari  Darussyifa'

Saturday, August 13, 2011

TASKIRAH NUZUL QURAN

“Anda melihat manusia membaca al-Quran dengan cepat. Mereka membaca huruf-huruf al-Quran dengan suara yang baik (sebutan) yang baik. Mereka berdebat tentang baris di bawah, di hadapan dan baris di atas seakan-akan mereka sedang membaca syair-syair Arab. Merenungi maksud al-Quran serta mengamalkannya menjadi tidak penting bagi mereka. Adakah dalam dunia ini wujud keadaan terpedaya yang lebih daripada itu?” (Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali (terjemahan Prof. TK. H. Ismail Yakub MA), Pust. Nasional, 1981, Singapura, jil 6 hal 34)

 Di musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Ia sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala, insya-Allah. Namun siapakah yang sebenarnya membaca al-Quran di sisi Allah?

Berhubung dengan ini Allah berfirman maksudnya,
Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Surah Al-Baqarah ayat 121)

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa mereka yang benar-benar membaca Kitab Allah ialah mereka yang membacanya ‘haqqa tilaawatih’. Siapakah mereka itu? As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir mendatangkan pendapat sahabat Abdullah ibn Masud ra yang berkata: “Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya (iaitu haqqa tilaawatih) ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.”

Untuk tujuan ini kita perlu memahami apa yang kita baca dan bukan sekadar membaca, mengaji dan bertadarus begitu sahaja.

Allah berfirman maksudnya,
“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.”
(Surah An-Nisak ayat 82)

Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”.

Ramai dari kalangan umat Islam di Nusantara pada hari ini lebih mengutamakan pembacaan al-Quran mengikut tajwid yang betul tanpa banyak memberi tumpuan kepada kefahaman ayat, sedangkan Allah menghendaki umat Islam memahami dan mengkaji isi-isi Al-Quran. Apabila mesej al-Quran dapat difahami dengan betul, barulah penghayatan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Selamat MENGAJI dan MENGKAJI.

Sumber : DR DANIAL ZAINAL ABIDIN (http://www.mindasuper.com/)