Monday, November 7, 2011

KEISTIMEWAAN PENYEMBELIHAN CARA ISLAM

Al Maidah ayat 3
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) menilik nasib dengan anak panah, (menilik nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 


Kajian oleh pakar Jerman 

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini telah dikaji oleh pakar Jerman. 

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Institut Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, ‘Kajian mengesan kesakitan mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu dan kambing’. Beliau menyimpulkan kaedah Islam adalah yang terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. 

Renjatan Elektrik digunakan untuk mematikan babi di barat


Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat terhadap haiwan. 

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam melalui potongan urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP). 

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) danelectrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP. 


Contoh ujian electroencephalograph (gambar bawah) 
dan electrocardiogram (gambar atas)


Hasil ujian sembelihan menurut cara Islam 

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. 

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau selepas pisau memotong urat leher terbabit. 

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. 

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. 

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu. 

Hasil ujian tembakan CBP cara barat 

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat tinggi pada haiwan itu. 

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan. 

Lembu yang tidak disembelih punca penularan wabak lembu gila. 

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia. 

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas  dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu. 

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging. 

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. 

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih. 

Cara Islam adalah yang terbaik 

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia. 

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik. 

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. 

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak. 

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. 

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya,kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003. 

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. 

Saraf tunjang tidak terjejas semasa penyembelihan dan kebaikannya 

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. 

“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih. 

“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya. 

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.
 

Thursday, October 27, 2011

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH

Sabda Nabi s.a.w, "Tidak ada hari yang lebih baik di sisi Allah untuk lakukan amalan kebaikan selain sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah". Para sahabat bertanya, adakah jihad fisabilillah tidak boleh menandingi amalan yang dilakukan pada sepuluh hari tersebut ?” Nabi bersabda, "Jihad pun tidak boleh menandingi melainkan dia keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak pulang dengan keduanya”. (Hr Bukhari)

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih di sisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai Allah daripada hari-hari sepuluh ini      (1 - 10 Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir maka sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda. (HR Al-Baihaqi)

Tuesday, October 18, 2011

IBADAT KORBAN

MENURUT Dr Yusuf Al-Qaradhawi ibadat korban ialah sunat muakkad (dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqh.

Dalam mazhab Imam Abu Hanifah, ia dipandang sebagai ibadat wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan tuntutannya daripada fardu dan lebih berat daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara fardu dan wajib, tidak sebagaimana imam lain).

Hukum wajib ini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dikira berdosa sekiranya mereka daripada golongan berkemampuan dan berkedudukan.

Diriwayatkan satu hadis marfu' daripada Abu Hurairah, maksudnya : "Sesiapa yang mempunyai kelapangan, namun tidak mengerjakan ibadat korban, maka jangan sesekali mendekati musalla kami." (Hadis riwayat Al-Hakim)

Juga diriwayatkan bahawa apabila beliau ditanya mengenai ibadat korban, beliau menjawab: "Itulah sunnah daripada bapamu, Ibrahim." (Hadis riwayat At-Tarmizi dan Al-Hakim)

Oleh itu, ibadat korban dikira sama ada sunnah muakkad atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan makruh jika seseorang yang mempunyai kelapangan tidak mengerjakan ibadat korban.

Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hukumnya sunat muakkad iaitu sebagai ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah pada masa hayatnya. Baginda dilaporkan pernah berkorban dua biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu berkorban.

Bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat korban hanya sunat.

Seseorang tidak dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah berkorban seumur hidupnya. Jika tidak berkorban kerana tidak berkemampuan, anggaplah bahawa Nabi berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan amalan korban yang dilakukan oleh Rasulullah yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak diri, keluarga dan umatnya, maka ulama berpendapat memadai jika seorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Rasulullah setiap kali berkorban memilih ternakan yang baik, sihat dan gemuk.

Muslim meriwayatkan daripada Anas mengatakan Rasulullah saw menyembelih korban dengan dua kibas yang terbaik dengan tangannya sendiri dengan membaca Bismillahi Allah dan bertakbir dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibasnya itu.

Ada syarat ditetapkan iaitu ternakan yang hendak dikorbankan mesti cukup umur, sihat dan sempurna sifatnya yakni tidak mengalami kecacatan.

Haiwan ternakan betina pula perlu dipastikan tidak mengandung ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap sah jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang mengandung.

Mengikut amalan sunnah dalam pembahagian daging korban ialah satu pertiga untuk diri dan keluarga, satu pertiga untuk jiran tetangga manakala satu pertiga untuk golongan fakir dan miskin.

Namun seandainya disedekahkan semuanya kepada orang lain, itu lebih baik dan sempurna. Bagaimanapun, digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarga sebagai tabarruk.

Allah mensyariatkan waktu untuk melakukan ibadat korban ialah selepas solat hari raya pada 10 Zulhijjah. Ia juga boleh dilakukan pada tiga hari selepasnya iaitu hari yang dinamakan sebagai hari tasyrik.

Ada masyarakat beberapa golongan yang silap faham, lalu melakukan ibadat korban pada malam hari raya. Ini ialah satu amalan yang tidak menepati sunnah dan jika dilakukan juga, sembelihan itu tidak dikira sebagai ibadat korban.

Begitu juga dalam permasalahan pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging korban dibahagi tujuh, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala) diperuntukkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Ini sama sekali tidak dibenarkan. Setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh menjadi upah.

Untuk tujuan upah, sepatutnya pihak yang berkongsi korban boleh membayar lebih sedikit daripada harga asal haiwan itu

Wednesday, September 14, 2011

PUASA SUNAT DI BULAN SYAWAL( PUASA 6 )



Apakah dalil bagi kelebihan berpuasa di bulan syawal?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Adakah disyaratkan puasa enam hari itu dilakukan berturut-turut?

Tidak disyaratkan. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya berturut-turut dan lebih afdhal lagi memulainya dari dua syawal.

Jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad. Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat. Dan ada ulamak berpendapat; harus kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa, tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah.
 

Friday, August 19, 2011

PETUA MENCARI MALAM LAILATUL QADAR

(Petikan daripada Kitab Jauhar Al-Mauhub -Muka Surat 66 & 67 )

Assalammu'alaikum wbt.
 
Awal Ramadan tahun ini (1 Ramadan 1432H)  jatuh pada hari Isnin (1-Ogos-2011) maka mengikut;

1. Pendapat pertama (Imam Nawawi) – malam Lailatul Qadar insya'Allah akan jatuh pada malam yang ke-29 (hari Ahad, 28-Ogos-2011 malam Isnin)

2. Pendapat kedua (Sheikh Wahab) - malam Lailatul Qadar insya'Allah jatuh pada malam yang ke-21 (hari Sabtu, 20-Ogos-2011 malam Ahad)

Berikut adalah petikan dari kitab yang tersebut di atas (lampiran adalah dari kitab asal);
 
Dan adalah malam Lailatul Qadar itu pada Imam Syafie Radiyallahu’anhu tersimpan ia di dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadan tetapi pada malam “gasal” (ganjil) itu terlebih harap akan dia dan terlebih diharap daripada segala malam yang “gasal” (ganjil) itu malam yang dua puluh satu dan malam yang dua puluh tiga.

Dan yang “rajihnya” bahawasanya malam Lailatul Qadar itu melazimi ia akan malam yang tertentu maka tiada terpindah ia daripada seperti barang yang diriwayatkan daripada Abas bahawasanya malam Lailatul Qadar itu malam yang dua puluh tujuh kerana diambil daripada firman Allah ta’ala “Inna annzalnahu filailatul qdr” hingga “Salam mun hi ya” … maka bahawasanya kalimah “ hi ya’ itu dua puluh tujuh daripada segala kalimah surah ini dan iaitu kinayah daripada malam lailatul qadar dan atas perkataan inilah diamalkan pada segala masa, segala negeri dan iaitu mazhab kebbanyakan Ahli al-‘Ilmi.

Dan kata qil; “Bahawasanya malam lailatul qadar itu terpindah ia tiada tetap ia pada malam yang tertentu maka terkadang ia pada dua puluh satu dan terkadang ada ia pada malam dua puluh lima demikianlah dan atas perkataan ini menjalani dua ahli Sufi dan menyata mereka itu akan “dhabit” dan kaedah bagi yang demikian itu dan iaitu;

- jika adalah awal puasa pada hari Jumaat maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Sabtu maka itu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa pada hari Ahad maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Selasa maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa pada hari Rabu maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka malam lailatul qadar malam dua puluh satu

Dan telah memilih Imam Nawawi didalam  Majmu’ dan Fatawa akan qaul dengan berpindah dan katanya di dalam Raudah dan iaitu yang kuat. (Bajuri)

Dan tersebut di dalam Hasyiyah Fathul Wahab, maka;

- jika awal puasa pada hari Ahad atau hari Rabu maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa hari Selasa atau Jumaat maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa hari Sabtu maka iaitu malam dua puluh tiga malam lailatul qadar

Kata Abu Al-Husan: “Dan pada masa sampai aku akan tahun lagi-lagi tiada luput akan daku malam Lailatul Qadar dengan ini kaedah yang tersebut Barmawi dan Qalyubi”


Wallahu'alam

Sumber : Dari  Darussyifa'

Saturday, August 13, 2011

TASKIRAH NUZUL QURAN

“Anda melihat manusia membaca al-Quran dengan cepat. Mereka membaca huruf-huruf al-Quran dengan suara yang baik (sebutan) yang baik. Mereka berdebat tentang baris di bawah, di hadapan dan baris di atas seakan-akan mereka sedang membaca syair-syair Arab. Merenungi maksud al-Quran serta mengamalkannya menjadi tidak penting bagi mereka. Adakah dalam dunia ini wujud keadaan terpedaya yang lebih daripada itu?” (Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali (terjemahan Prof. TK. H. Ismail Yakub MA), Pust. Nasional, 1981, Singapura, jil 6 hal 34)

 Di musim Ramadan ini ramai yang mengaji, bertadarus atau membaca al-Quran. Ia sememangnya satu amalan yang baik yang mendatangkan pahala, insya-Allah. Namun siapakah yang sebenarnya membaca al-Quran di sisi Allah?

Berhubung dengan ini Allah berfirman maksudnya,
Dan mereka yang telah Kami berikan Kitab kemudian mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar terhadapnya mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Surah Al-Baqarah ayat 121)

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa mereka yang benar-benar membaca Kitab Allah ialah mereka yang membacanya ‘haqqa tilaawatih’. Siapakah mereka itu? As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir mendatangkan pendapat sahabat Abdullah ibn Masud ra yang berkata: “Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya (iaitu haqqa tilaawatih) ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.”

Untuk tujuan ini kita perlu memahami apa yang kita baca dan bukan sekadar membaca, mengaji dan bertadarus begitu sahaja.

Allah berfirman maksudnya,
“Apakah mereka tidak tadabur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.”
(Surah An-Nisak ayat 82)

Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan”.

Ramai dari kalangan umat Islam di Nusantara pada hari ini lebih mengutamakan pembacaan al-Quran mengikut tajwid yang betul tanpa banyak memberi tumpuan kepada kefahaman ayat, sedangkan Allah menghendaki umat Islam memahami dan mengkaji isi-isi Al-Quran. Apabila mesej al-Quran dapat difahami dengan betul, barulah penghayatan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Selamat MENGAJI dan MENGKAJI.

Sumber : DR DANIAL ZAINAL ABIDIN (http://www.mindasuper.com/)

Tuesday, July 19, 2011

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.
Biografi
1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.
2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani
3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.

Sumber:http://www.ashtech.com.my/bulanislam

Monday, July 11, 2011

50 Tanda - Tanda Orang Munafik

1. Malas beribadah kepada Allah SWT .
2. Lupa kepada Allah SWT
3. Melalaikan solat fardu
4. Mempercepat mengerjakan solat
5 Gemar meninggalkan solat berjemaah
6. Meninggalkan solat Jumaat
7. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang makruf
8. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi
9. Menyembunyikan ilmu pengetahuan
10. Riak
11. Hasad dengki
12. Dusta
13. Mungkir janji
14. Bakhil
15. Fitnah
16. Mencaci maki
17. Mengumpat
18. Mengungkit kembali pemberian kepada seseorang dan menyakiti hatinya
19. Mengingkari takdir allah
20. Mempersenda kesucian agama
21. Enggan berjihad di jalan Allah SWT
22. Menghina sahabat Rasullullah SAW
23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar
24. Menangguh pembayaran hutang
25. Menipu dalam jual beli
26. Ghasab
27. Bergaul dengan orang yang memperolok Al-Quran
28. Memakan harta anak yatim
29. Membuka rahsia orang lain
30. Berasa aman daripada murka Allah apabila melakukan dosa
31. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai
32. Menghalang orang daripada mengamalkan ajaran islam
33. Suka kepada kesesatan dan suka menyesatkan orang
34. Bermuka-muka
35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenarnya
36. Sombong diantara sesama manusia
37. Melampaui batas yang telah digariskan oleh Allah
38. Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim
39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup
40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah
42. Mengkhianati sesuatu amanah
43. Memutuskan silaturrahim
44. Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
45. Menghalalkan perkara yang haram
46. Membuat kerosakan dimuka bumi
47. Menuduh orang beriman bodoh
48. Mengubah dan menyalahguna ayat-ayat Allah
49. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT
50. Berasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman.

Tuesday, June 14, 2011

Kegagalan Orang-orang Soleh

- oleh BayangDiAir

Fenomena biasa di surau atau di masjid; hanya orang-orang dewasa berumur 40-an ke atas yang menekuni solat dan kuliah. Kadang-kadang wajah yang sama sahaja menghadiri solat berjemaah lima waktu. Mereka ini bolehlah dikategorikan sebagai orang-orang yang soleh di sesuatu kariah. Mereka ini tidak ramai. Kalau waktu Maghrib dan Isyak, bilangan mereka adalah dua kali ganda bilangan tiang-tiang di masjid. Pada waktu Subuh, Zohor dan Asar, ada ketikanya banyak tiang daripada makmum.

Golongan orang soleh yang gemar bertandang ke surau dan masjid ini dari satu aspek sama lalai sahaja dengan golongan yang solat di rumah atau tak solat langsung. Golongan ini sama gagal dalam membawa anak-anak ke rumah Allah. Kegagalan ini terbahagi kepada dua iaitu, gagal mendidik dan gagal mengajak.Gagal mendidik bermaksud gagal menjalankan tugas sebagai seorang ayah yang sepatutnya mendidik anak-anak tentang tuntutan solat berjamaah. Kegagalan inilah menyebabkan anak-anak jauh dari tangga surau masjid.

Kegagalan mengajak pula bermaksud gagal memujuk atau memaksa anak-anak ikut bersama solat berjamaah. Ibu bapa mudah mengalah atau tidak berdaya untuk membawa anak-anak bersama memenuhi rumah Allah. Sifat keras anak-anak mengalahkan sifat keras ibu bapa. Apabila anak-anak berdegil, ibu bapa mudah mati akal. Lalu pergilah ibu bapa sekelamin dengan meninggalkan entah apa yang dibuat oleh anak-anak di rumah. Entah anak-anak solat, menonton Tv atau keluar merempit di jalan raya.

Kegagalan ibu bapa yang soleh ini amat mudah dilihat pada cuti sekolah. Pada musim persekolahan kemungkinan anak-anak tidak berada di surau masjid kerana ibu bapa sendiri memburu kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan. Ibu bapa saban malam lebih sibuk menghantar anak ke kelas-kelas tuisyen. Besarnya kejayaan dalam akademik berbanding solat dan kuliah maghrib. Inilah mentaliti umum ibu bapa sekarang.

Anehnya pada musim cuti sekolah juga anak-anak remaja terlalu kurang bilangannya dalam saf-saf solat. Ke manakah mereka ini sedangkan ayah-ayah yang lebai dan soleh ini begitu tekun berjamaah ? Adakah para lebai ini tidak mempunyai anak-anak remaja? Maklumlah, kalau diikutkan nisbah boleh dianggarkan bilangan dewasa kepada bilangan remaja ialah 10 : 1. Kalau ada 50 orang dewasa maka hanya terdapat 5 orang sahaja anak-anak remaja. Agaknya semua anak-anak tidak tinggal bersama mereka lagi. Semuanya telah memenuhi MRSM , sekolah sains dan sekolah berasrama penuh yang lain.

Tuntasnya, tulisan ini bukanlah satu pandangan sinis untuk para ibu bapa yang tekun ke masjid. Cetusan ini lebih kepada proses muhasabah untuk diri sendiri dan semua ibu bapa mukmin. Dalam kita mencari syurga untuk diri sendiri, apakah kita lalai menyediakan syurga untuk anak-anak tersayang? Mudah-mudahan tulisan ini mampu mengejutkan lalai diri sendiri khususnya dan sahabat-sahabat sekaliannya. Harapannya agar terbinalah nanti saf-saf remaja yang padat dan padu sebagai manifestasi kesolehan ibu bapa dan keimanan kariah. WalLahu’alam.

Wednesday, May 25, 2011

Sukar bangun Subuh? Ini tips nya

Sesungguhnya segala puji-pujian hanya layak bagi Allah Azza Wajalla, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Antara suasana yang membimbangkan berlaku kepada kebanyakan umat Islam pada hari ini ialah gejala meninggalkan solat Subuh dan meninggalkan solat Subuh berjamaah di Masjid. Meskipun diketahui bahawa mengerjakan solat Subuh khususnya di Masjid secara berjamaah mempunyai kelebihan yang besar di sisi Islam dalam menjana kekuatan Iman namun kini ramai yang mengabaikannya. Malah di kalangan mereka yang mendokong perjuangan Islampun ramai yang kalah untuk bangun awal mengerjakan solat Subuh di Masjid.

Keadaan ini adalah berpunca dari sikap suka berjaga lewat malam samada kerana melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bersukan, makan-makan dan berbual kosong dalam perkara yang tiada manfaat. Inilah yang selalunya menyebabkan umat Islam berjaga hingga lewat malam hingga menyebabkan mereka terlepas keberkatan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW di awal pagi. Jika kita lihat generasi umat Islam lampau mereka sangat mengambil berat soal tidur awal agar mereka dapat bangun lebih awal untuk melaksanakan ibadah dan seterusnya bekerja di awal pagi dengan perasaan yang segar dan sihat. Oleh kerana itulah kehidupan generasi lampau di kalangan datuk, nenek dan moyang kita sentiasa sihat dan bertenaga di siang hari. Jarang sekali kita dengar mereka ditimpa penyakit atau tekanan perasaan seperti yang berlaku pada ramai orang pada hari ini. Oleh kerana itulah Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Ertinya: “Ya Allah! Berkatilah ummat ku diwaktu paginya”. Hadis riwayat Ahmad

Bagi membantu sahabat-sahabat untuk bangun awal diwaktu pagi supaya dapat bertahajjud, solat sunat dua rakaat sebelum subuh dan solat subuh berjamaah di Masjid, di sini dinukilkan beberapa kaedah yang sedikit-sebanyak dapat membantu.Kaedah membantu diri untuk mudah bangun pagi ialah:

1) Tidur awal:

Menjadi kebiasan mereka yang tidur awal akan bangun awal dan sebaliknya mereka yang tidur lewat akan bangun lewat. Oleh kerana itu adalah makruh hukumnya tidur sebelum solat Isyak dan berbual-bual kosong dan membuang masa selepasnya hingga menyebabkan tidur lewat. Namun begitu ada keadaan yang dikecualikan untuk tidur lewat sepertimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi dalam huraiannya kepada Sahih Muslim. Katanya: Sebab dimakruhkan berbual-bual selepas solat Isyak ialah yang membawa kepada berjaga malam dan dibimbangi akan menyebabkan tertidur nyenyak hingga tertinggal qiamullail atau terlepas solat Subuh pada waktunya atau waktu yang afdhalnya dan adalah makruh berbual-bual selepas solat Isyak iaitu dalam perkara-perkara yang tiada kemaslahatan, adapun sekiranya pada perkara yang ada maslahat dan kebaikan maka tidaklah makruh, seperti mempelajari ilmu, membicarakan kisah orang-orang soleh, berbual dengan tetamu, berbual dengan dengan ahli keluarga bagi mengeratkan hubungan dan menunaikan keperluan mereka, berbual dengan orang musafir bagi menjaga harta dan diri mereka, berbual dalam urusan mendamaikan antara manusia dan membantu mereka dalam perkara kebaikan, menyeru kepada kebaiakan dan mencegah kemungkaran, menunjukkan kepada kemaslahatan dan yang seumpamanya, semua itu tidaklah termasuk dalam perkara makruh”.

Bagi seorang Muslim yang perihatin dia berjaga malam adalah kerana aktiviti perjuangan dan ibadah dan bukannya kerana perbuatan lagho, dan jika sekiranya dia lewat tidurpun dia tetap berusaha dan memastikan bangun awal untuk ke Masjid solat berjamaah subuh.

2) Memelihara adab tidur:

Kunci kedua untuk mudah bangun di waktu subuh ialah memelihara amalan sunnah ketika tidur di waktu malam. Iaitu dengan berwudhuk, ketika di atas pembaringan duduk sambil menghimpunkan kedua-dua belah telapak tangan dan meniupkan ke atasnya selepas membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas kemudian di sapu keseluruh badan dan tidur dengan membaca doa sebelum tidur. Bagi mereka yang sukar bangun pagi, hendaklah memohon bantuan daripada ahli keluarga, kawan atau jiran bagi membantu menggerakkannya untuk bangun di awal pagi atau menyediakan jam loceng. Bagi mereka yang sudah terbiasa bangun awal di waktu subuh selalunya tidak menjadi masalah untuk bangun awal kerana secara fitrah dia akan bangun pada masanya dan tidak perlu kepada faktor luaran untuk menggerakkannya kerana seolah-olah ia sentias dibantu oleh para Malaikat untuk bangun awal.

Kemudian setelah terjaga hendaklah membaca doa dan janganlah sekali-kali meneruskan tidur kerana ia akan membawa kepada terjaga lewat.

3) Memenuhkan dada dengan Iman dan ‘amal soleh:

Keimanan yang kuat adalah merupakan pendorong utama bagi seseorang melakukan sesuatu yang sukar. Mengerjakan qiamullail dan solat Subuh di Masjid adalah suatu amalan yang sukar dan ia tidak dapat dilakukan kecuali oleh mereka yang benar-benar yakin kepada janji kebaikan daripada Allah Taala. Justeru bagi meningkatkan keimanan dalam dada, seseorang itu hendaklah menambahkan amalannya dengan banyak melakukan kebaikan, kerana dengannya hati seseorang itu akan menjadi suci dan bersih yang memudahkan untuk suburnya Iman. Sebaliknya hati yang kotor akan menjadi keras dan kekerasan hati adalah menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk melakukan amal ibadah yang sukar seperti solat Subuh berjamaah di Masjid dan qiamullail. Hati boleh menjadi keras kerana dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub dan riak atau disebabkan makan dari sumber yang tidak halal.

4) Menjauhi perbuatan maksiat:

Maksiat adalah penghalang bangun solat Subuh dan mengerjakannya di Masjid. Justeru hendaklah kita sentiasa menjauhi segala maksiat. Seperti yang berpunca daripada mata iaitu melihat perkara yang haram seperti melihat aurat wanita, samada melalui televisyen ataupun internet. Juga yang berpunca dari lidah iaitu perbuatan mengata orang, mengeji, mengumpat dan menabur fitnah. Juga yang berpunca dari telinga seperti mendengar hiburan-hiburan haram dan umpatan serta fitnah. Mereka yang melakukan maksiat selalunya sukar untuk bangun solat Subuh atau ke Masjid kerana ia melemahkan naluri beramal soleh dan menghakis keyakinan kepada janji-janji kebaikan daripada Allah Taala. Mata, lidah dan telinga sepatutnya digunakan bagi melihat, membaca dan mendengar perkara kebaikan seperti al-Quran, al-Hadis, ceramah dan lain-lain.

5) Mengetahui kelebihan solat Subuh dan fadhilat mengerjakannya di Masjid

Hendaklah mengetahui kelebihan dan keistimewaan amalan solat subuh dan mengerjakannya di Masjid kerana dengan mengetahuinya barulahseseorang itu terdorong untuk berlumba melakukannya. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Ertinya: Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secra berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. Hadis riwayat Imam Muslim.

Ibnu Mas ‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur di malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:

ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنِهِ أَوْ أُذُنَيْهِ
Ertinya: Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya (atau kedua telinga). Hadis riwayat Imam Al-Bukhari.

Menurut Imam Al-Qurtubi kencing syaitan adalah kencing yang hakiki dan bukan hanya simbolik. Sebab itu ada kalanya kita boleh kenal mereka yang tidak solat Subuh kerana wajahnya yang suram akibat dari kencing syaitan, berbeza dengan merek yang bangun solat Subuh di awal pagi.

Kebesaran dan keagungan solat Subuh berjamaah di Masjid hendaklah dimasukkan ke dalam hati kerana ia akan menangkis bisikan syaitan yang selalu membisikkan rasa ringan meninggalkannya. Bagi para ulama dan ustaz pula hendaklah menanamkan rasa malu dan bersalah yang amat sangat jika tidak hadir solat Subuh berjamaah kerana dia adalah contoh ikutan orang awam.

6) Mengetahui kesan meninggalkan solat subuh@solat berjamaah subuh.

Antara punca jiwa menjadi lemah dan hilangnya banyak daripada kelebihan agama dan dunia ialah bangun lewat dan meninggalkan fardhu subuh. Oleh kerana itulah syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda: ((Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata) : Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu iakatan, jika dia berwudhuk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas)). HR Al-Bukhari.

Waktu selepas solat Subuh adalah waktu yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan, justeru Nabi SAW memelihara waktu tersebut iaitu memenuhkannya dengan zikir dan baginda selalunya selepas subuh terus duduk sambil berzikir sehinggalah terbit matahari, dan kemudian baginda solat dua rakaat Dhuha.

Amalan ini menjadi ikutan para ulama salafussoleh, antaranya ialah Imam Ibnu Taimiyyah yang turut melakukan amalan duduk berzikir selepas solat Subuh sehingga terbit matahari sepertimana yang dikhabarkan oleh muridnya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.

Waktu selepas solat Subuh adalah saat banyaknya kebaikan dan keberkatan, kerana itulah Nabi SAW berdoa:

((اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا))
Maksudnya: Ya Allah berkatilah ummatku di waktu pagi! HR Al-Tirmizi.

Oleh sebab itu kita lihat mereka yang berjaya dalam urusan dunia mereka seperti berniaga, menternak atau bertani memulakan kerja mereka di awal pagi kerana rezki terbuka luas di waktu tersebut. Begitulah juga dalam urusan akhirat waktu pagi adalah saat yang paling baik menambahkan amal ibadah. Oleh itu mereka yang mengsia-siakan waktu tersebut dengan tidur atau berehat-rehat sahaja sebenarnya telah mendapat kerugian dalam hidup mereka.

Di samping kelebihan dalam kerja dan ibadah, mereka yang bangun awal juga mendapat kebaikan dari sudut kesihatan kerana udara yang dihirup di waktu subuh adalah udara yang segar dan akan hilang kesegarannya apabila terbitnya matahari. Kesegaran udara di waktu pagi ini akan mencerdaskan otak, mendamaikan jiwa dan mencergasan fizikal.

7) Menjauhi sifat-sifat munafiq.

Kehadiran diri ke Masjid di waktu subuh adalah merupakan bukti kekuatan iman seseorang Muslim dan bebasnya diri dari sifat minafiq kerana ia adalah waktu paling sukar untuk melaksanakan ketaatan. Rasulullah SAW bersabda:

((إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلَاةَ عَلَى المـُـنَافِقِيْنَ صَلَاةُالعِشَاءِ وَالفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُوْنَمَا فِيْهِمَا لَأَتَوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا))
Maksudnya: (( Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak)) HR Al-Bukhari dan Muslim.

Abdullah bin Mas ‘ud r.a berkata: “Engkau telah melihat kami dan tidak meninggalkannya (solat Subuh) melainkan munafiq yang dimaklumi sifat nifaqnya”. Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasai dan Ibnu Majah.

Ibnu Umar r.a pula berkata: “Apabila kami dapati ada lelaki yang tidak hadir solat (di Masjid) pada waktu fajar (Subuh) dan Isyak kami akan berburuk sangka terhadapnya”. Riwayat Al-Bazzar, Al-Tobrani dan Ibnu Khuzaimah.

Oleh itu jika anda mahu mengukur secara zahir iman seseorang maka ia boleh diukur dengan keadaan solat Subuhnya. Jika dia seorang yang sangat memelihara solat Subuh dan melaksanakannya secara berjamaah di Masjid maka ia menjadi bukti kepada kekuatan imannya. Namun jika sebaliknya, dia sangat malas berjamaah di Masjid waktu subuh maka itu adalah petanda imannya yang bermasalah serta kekerasan hatinya. Ia juga menunjukkan ketundukannya kepada hawa nafsu dan kekalahannya kepada bisikan syaitan. Seseorang yang mampu bangun untuk pergi berjamaah di waktu Subuh adalah bukti kekuatan iman seseorang kerana dia telah menang dalam peperangan dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan supaya terus tidur.

Bagi mereka yang terus tidur, apakah mereka berasa lebih seronok diulit mimpi di atas katil sedangkan ahli jamaah yang lain sedang beribadah dan mendengar bacaan Al-Quran di dalam solat di Masjid. Adalah menjadi satu kerugian yang besar bagi mereka yang tidak merasakan apa-apa kekurangan pada diri mereka sedangkan mereka terus jauh dari rahmat Allah Taala di waktu pagi.

Sunday, May 15, 2011

21 Mei 2011 - Ceramah Motivasi Pelajar (UPSR,PMR,SPM & STPM)

Satu Ceramah Motivasi Pelajar (upsr, pmr,spm & STPM) akan diadakan selepas solat maghrib bertempat di surau Al-Mukiminin. Ceramah akan disampaikan oleh Penceramah Jemputan lulusan Universiti Jordan. Semua anak-anak kariah Taman College Heights dan taman sekitar dijemput hadir. Ibubapa juga digalakkan hadir sama. Pendaftaran bermula jam 5.00 petang Sekian terimakasih.

Kuliah Subuh Ust Haji Hambali (22 Mei 2011)

Kuliah Subuh disampaikan oleh Ustaz Hj Hambali Penceramah Radio 3 Seremban, semua muslimin & muslimat di jemput hadir bersama solat subuh berjemaah dan mendengar kuliah, Sarapan pagi disediakan. Para penduduk yang ingin menyumbang makanan juga dialu-alukan.

Tuesday, May 10, 2011

Bercakap Bahasa Sama Macam kita TETAPI.......

Hadis Huzaifah bin Al-Yaman r.a katanya:

Manusia sering bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai amalan-amalan yang baik, tetapi aku telah bertanya tentang amalan-amalan jahat kerana aku takut ia akan menimpa diriku, lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Dahulu kami berada dalam kejahilan dan kejahatan, kemudian Allah mengurniakan kepada kami kebaikan (kebenaran), adakah selepas kebenaran ini akan berlaku pula kejahatan? Rasulullah menjawab: Ya.

Aku bertanya lagi: Adakah akan berlaku pula kebaikan selepas kejahatan itu? Rasulullah menjawab: Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan. Aku bertanya apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan dan perselisihan itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Iaitu satu kaum yang tidak beramal dengan sunnahku dan mengikuti selain dari jalanku, di antara mereka itu ada yang kamu kenal dan ada yang kamu tidak mengenalinya.

Aku bertanya lagi: Adakah kejahatan akan berlaku lagi selepas itu? Rasulullah menjawab: Ya, ketika itu ada orang-orang yang menyeru atau mengajak manusia ke Neraka Jahanam, sesiapa yang menyahut ajakan mereka, maka orang itu akan dicampakkan ke dalam Neraka itu.

Aku berkata lagi: Wahai Rasulullah! Sifatkan mereka kepada kami.Rasulullah menjawab: Baiklah, mereka adalah sebangsa dengan kita dan berbahasa seperti bahasa kita. Aku bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu sekiranya aku masih hidup lagi ketika itu? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Kamu hendaklah bersama dengan jemaah Islam dan pemimpin mereka.

Aku bertanya lagi: Bagaimana sekiranya ketika itu umat Islam tidak mempunyai jemaah (kesatuan) juga tidak ada pemimpin? Rasulullah menjawab lagi dengan bersabda: Kamu hendaklah memencilkan diri kamu dari kumpulan mereka walaupun kamu terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah kamu di sana sehingga kamu mati dalam keadaan yang demikian. 

Hadith riwayat Muslim.

Friday, May 6, 2011

MENGUMPAT.. Amalan Yang Menghapuskan Pahala

"MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Perbuatan itu mungkin menyebabkan kesusahan, kerugian, perasaan malu dan mendapat nama buruk akibat cerita itu.

Rasulullah saw menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda bermaksud: "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya." (Hadis riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui ia difahami oleh orang mendengarnya. Mengumpat banyak mendatangkan keburukan. Oleh itu, Islam melarang umatnya mengumpat. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai saudaranya, tentunya kamu semua membenci memakannya..." (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya pada akhirat.

Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang diumpat." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Tidak ramai melakukan zina kerana dosanya amat besar tetapi ramai tidak sedar setiap hari melakukan dosa lebih besar daripada zina. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri." (Hadis riwayat Abu Daud).

Maksud hadis itu dengan jelas membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai belum beriman dengan hatinya biarpun lidahnya mengaku beriman. Orang mengumpat bakal dimalukan biarpun dia berada di rumahnya sendiri. Kesan buruk mengumpat boleh menyebabkan perbalahan dan perasaan tidak senang dalam masyarakat. Perasaan iri hati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada perbuatan mengumpat. Ia mungkin boleh merebak sehingga mencetuskan huru- hara dan pembunuhan. Mengumpat juga boleh berlaku ketika bergurau dan melawak apabila menggunakan perkataan atau perbuatan melambangkan keburukan seseorang. Rasulullah saw pernah menegur Siti Aishah kerana berkata 'alangkahpendeknya perempuan itu' kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan Rasulullah saw. Kata-kata itu turut dianggap mengumpat kerana menyebut kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilkannya.

Ini bermakna kita tidak boleh memanggil seseorang dengan panggilan menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak atau buncit. Tetapi masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan panggilan 'mesra'. Kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah.

Saturday, April 23, 2011

Kuliah Subuh Oleh Ustaz Hj Hambali ( Ahad. 24 April 2011)

Semua Muslimin & Muslimat di Jemput Hadir Solat Subuh Berjemaah dan Mendengar kuliah sarapan pagi disediakan, Jika ada yg berhajat untuk menyumbang dan sedekah makanan adalah amat dialu-alukan dan pihak surau mengucapkan berbanyak terima kasih, semoga allah memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kepada orang yang bersedekah, aaminnn..

Monday, April 4, 2011

Doa supaya dapat membayar hutang





Maksudnya:


Ya Allah, cukupkanlah aku dengan segala perkara yang telah Engkau halalkan daripada segala perkara yang telah Engkau haramkan. Kayakanlah aku dengan kelebihan Engkau daripada meminta kepada orang lain.



Maksudnya:


Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut dan dari desakan hutang dan paksaan orang.



Friday, April 1, 2011

Kuliah Subuh - Ust Haji Hambali (AHAD 3 April 2011)

Kuliah Subuh disampaikan oleh Ustaz Hj Hambali Penceramah Radio 3 Seremban, semua muslimin & muslimat di jemput hadir bersama solat subuh berjemaah dan mendengar kuliah, Sarapan pagi disediakan. Para penduduk yang ingin menyumbang makanan juga dialu-alukan.

Tuesday, March 22, 2011

Makluman Aktiviti Surau Al-Mukminin

1. Kutipan Derma Mengubahsuai Surau


Demi keselesaan jemaah surau menjalankan aktiviti, pihak AJK membuat keputusan surau perlu diubahsuai dalam masa terdekat ini. Permohonan telah dimajukan kepada pihak berkenaan, walaubagaimanapun pihak surau merasakan perlunya penglibatan ahli kariah taman bersama-sama menyumbangkan sedikit derma, wakaf dan doa dalam menjayakan usaha membangunkan fasiliti surau.

Semoga segala usaha dan sumbangan ahli kariah ini dihimpunkan oleh ALLAH SWT didalam pahala-pahala amal jariah kita, InsyaALLAH.

Maksud hadith Rasulullah saw:
“Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga (3) perkara; (i) sedekah jariahnya, (ii) ilmu yang bermanfaat, dan (iii) anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.”


Segala sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank Islam seperti yang tertera di blog ini.

2. Kursus Pengurusan Jenazah

Kursus Pengurusan Jenazah akan diadakan pada 27 Mac 2011 (Ahad) bermula jam 8.30 pg hingga 12 tgh bertempat di surau Al-Mukminin. Semua penduduk Muslimin dan Muslimat taman College Height di jemput hadir.

3. Korban 1432H

Bersempena sambutan Aidil ADHA 2011/1432H ini pihak surau akan mengadakan ibadah korban/akikah pada hari raya tersebut. Kepada penduduk Muslimin dan Muslimat yang berminat atau berhajat untuk bersama-sama menyertainya silalah berhubung dengan wakil surau iaitu:

En Hazehar B. Hassan (No. 433 Jalan 8)
HP: 013 3721164


Satu bahagian RM370.00


Seekor lembu = tujuh bahagian.

Alhamdullillah, buat masa ini sudah ada seekor lembu untuk dikorbankan.

Wednesday, March 16, 2011

Ucapan Yang Baik Dibalas Dengan Yang Lebih Baik

Daripada Ummu Salamah r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah SWT memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w.”

(Muslim)

Huraian:

Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.

Tuesday, March 1, 2011

Tasbih Kaffarah


Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut


سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

melainkan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan sepanjang dia berada dalam majlis itu” .


Daripada Abu Barzah Aslami RA berkata: Rasulullah SAW pernah menyebut pada hujung usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

Maka berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini. Berkata (Rasulullah SAW): “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis” .


Di riwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ

Saya bertanya: kenapa tuan sering membaca doa ini?

Baginda menjawab: Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan diampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut.


Terjemahan

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ


"Maha Suci Engkau, ya ALLAH, aku memuji kepada-MU, Aku bersaksi, Bahawa tiada Tuhan selain Engkau, Aku minta ampun dan bertaubat kepada-Mu".


Nota: Doa ini biasa dibaca selepas akhir sesuatu majlis dan diakhiri bersama-sama surah al-asr semoga kesalahan semasa majlis berjalan diampunkan oleh Allah.