Friday, December 17, 2010

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Hadith :
Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.
(Riwayat Muslim)


Huraian

  1. Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.
  2. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
  3. Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.
  4. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Thursday, December 16, 2010

Insan Dan Hubungannya Dengan Masyarakat


Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

(al-Bukhari dan Muslim)



Huraian
Setiap insan yang mendiami bumi ini seharusnya menjalinkan hubungan sesama mereka dengan adab-adab muamalah dan pergaulan sosial yang baik sama ada berbentuk perkataan yang baik dan enak didengar, kejiranan yang mendamaikan dan layanan terhadap tetamu yang selayaknya. Semua ini adalah unsur-unsur keimanan seseorang kepada Allah SWT yang menyuruh kita agar berakhlak mulia yang akan memberi manfaat di dunia dan akhirat. Beramal dengan apa yang terkandung di dalam hadis di atas akan mewujudkan kesatuan ummah dan menjinakkan hati manusia serta menghapuskan sifat hasad dengki di antara satu sama lain sebaliknya akan meluaskan perasaan kasih sayang yang berpanjangan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia