Sunday, October 13, 2013

Monday, November 7, 2011

KEISTIMEWAAN PENYEMBELIHAN CARA ISLAM

Al Maidah ayat 3
Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) menilik nasib dengan anak panah, (menilik nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 


Kajian oleh pakar Jerman 

Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini telah dikaji oleh pakar Jerman. 

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Institut Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar.

Kajian itu bertajuk, ‘Kajian mengesan kesakitan mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu dan kambing’. Beliau menyimpulkan kaedah Islam adalah yang terbaik kerana lebih berperikemanusiaan. 

Renjatan Elektrik digunakan untuk mematikan babi di barat


Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat terhadap haiwan. 

Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas.

Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam melalui potongan urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP). 

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) danelectrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP. 


Contoh ujian electroencephalograph (gambar bawah) 
dan electrocardiogram (gambar atas)


Hasil ujian sembelihan menurut cara Islam 

Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan. 

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau selepas pisau memotong urat leher terbabit. 

Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. 

Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. 

Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu. 

Hasil ujian tembakan CBP cara barat 

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat tinggi pada haiwan itu. 

Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan. 

Lembu yang tidak disembelih punca penularan wabak lembu gila. 

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia. 

Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas  dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu. 

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging. 

Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. 

Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih. 

Cara Islam adalah yang terbaik 

Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia. 

Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik. 

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. 

Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak. 

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. 

Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya,kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003. 

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. 

Saraf tunjang tidak terjejas semasa penyembelihan dan kebaikannya 

Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. 

“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih. 

“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya. 

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.
 

Thursday, October 27, 2011

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH

Sabda Nabi s.a.w, "Tidak ada hari yang lebih baik di sisi Allah untuk lakukan amalan kebaikan selain sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah". Para sahabat bertanya, adakah jihad fisabilillah tidak boleh menandingi amalan yang dilakukan pada sepuluh hari tersebut ?” Nabi bersabda, "Jihad pun tidak boleh menandingi melainkan dia keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian tidak pulang dengan keduanya”. (Hr Bukhari)

Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Tiada daripada hari-hari yang begitu lebih di sisi Allah dan tiada amalan padanya lebih disukai Allah daripada hari-hari sepuluh ini      (1 - 10 Zulhijjah). Maka perbanyakkanlah tahlil, takbir maka sesungguhnya ia merupakan hari-hari tahlil, bertakbir dan berzikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 kali ganda. (HR Al-Baihaqi)

Tuesday, October 18, 2011

IBADAT KORBAN

MENURUT Dr Yusuf Al-Qaradhawi ibadat korban ialah sunat muakkad (dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqh.

Dalam mazhab Imam Abu Hanifah, ia dipandang sebagai ibadat wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan tuntutannya daripada fardu dan lebih berat daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara fardu dan wajib, tidak sebagaimana imam lain).

Hukum wajib ini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dikira berdosa sekiranya mereka daripada golongan berkemampuan dan berkedudukan.

Diriwayatkan satu hadis marfu' daripada Abu Hurairah, maksudnya : "Sesiapa yang mempunyai kelapangan, namun tidak mengerjakan ibadat korban, maka jangan sesekali mendekati musalla kami." (Hadis riwayat Al-Hakim)

Juga diriwayatkan bahawa apabila beliau ditanya mengenai ibadat korban, beliau menjawab: "Itulah sunnah daripada bapamu, Ibrahim." (Hadis riwayat At-Tarmizi dan Al-Hakim)

Oleh itu, ibadat korban dikira sama ada sunnah muakkad atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan makruh jika seseorang yang mempunyai kelapangan tidak mengerjakan ibadat korban.

Menurut mazhab Imam Al-Syafie, hukumnya sunat muakkad iaitu sebagai ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah pada masa hayatnya. Baginda dilaporkan pernah berkorban dua biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu berkorban.

Bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat korban hanya sunat.

Seseorang tidak dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah berkorban seumur hidupnya. Jika tidak berkorban kerana tidak berkemampuan, anggaplah bahawa Nabi berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan amalan korban yang dilakukan oleh Rasulullah yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak diri, keluarga dan umatnya, maka ulama berpendapat memadai jika seorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Rasulullah setiap kali berkorban memilih ternakan yang baik, sihat dan gemuk.

Muslim meriwayatkan daripada Anas mengatakan Rasulullah saw menyembelih korban dengan dua kibas yang terbaik dengan tangannya sendiri dengan membaca Bismillahi Allah dan bertakbir dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibasnya itu.

Ada syarat ditetapkan iaitu ternakan yang hendak dikorbankan mesti cukup umur, sihat dan sempurna sifatnya yakni tidak mengalami kecacatan.

Haiwan ternakan betina pula perlu dipastikan tidak mengandung ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap sah jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang mengandung.

Mengikut amalan sunnah dalam pembahagian daging korban ialah satu pertiga untuk diri dan keluarga, satu pertiga untuk jiran tetangga manakala satu pertiga untuk golongan fakir dan miskin.

Namun seandainya disedekahkan semuanya kepada orang lain, itu lebih baik dan sempurna. Bagaimanapun, digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarga sebagai tabarruk.

Allah mensyariatkan waktu untuk melakukan ibadat korban ialah selepas solat hari raya pada 10 Zulhijjah. Ia juga boleh dilakukan pada tiga hari selepasnya iaitu hari yang dinamakan sebagai hari tasyrik.

Ada masyarakat beberapa golongan yang silap faham, lalu melakukan ibadat korban pada malam hari raya. Ini ialah satu amalan yang tidak menepati sunnah dan jika dilakukan juga, sembelihan itu tidak dikira sebagai ibadat korban.

Begitu juga dalam permasalahan pembahagian daging korban. Masih ada amalan di mana daging korban dibahagi tujuh, manakala bahagian tertentu (biasanya kepala) diperuntukkan kepada tukang sembelih sebagai upah. Ini sama sekali tidak dibenarkan. Setiap bahagian daging korban adalah sedekah dan sedekah sama sekali tidak boleh menjadi upah.

Untuk tujuan upah, sepatutnya pihak yang berkongsi korban boleh membayar lebih sedikit daripada harga asal haiwan itu

Wednesday, September 14, 2011

PUASA SUNAT DI BULAN SYAWAL( PUASA 6 )



Apakah dalil bagi kelebihan berpuasa di bulan syawal?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Adakah disyaratkan puasa enam hari itu dilakukan berturut-turut?

Tidak disyaratkan. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya berturut-turut dan lebih afdhal lagi memulainya dari dua syawal.

Jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad. Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat. Dan ada ulamak berpendapat; harus kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa, tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah.
 

Friday, August 19, 2011

PETUA MENCARI MALAM LAILATUL QADAR

(Petikan daripada Kitab Jauhar Al-Mauhub -Muka Surat 66 & 67 )

Assalammu'alaikum wbt.
 
Awal Ramadan tahun ini (1 Ramadan 1432H)  jatuh pada hari Isnin (1-Ogos-2011) maka mengikut;

1. Pendapat pertama (Imam Nawawi) – malam Lailatul Qadar insya'Allah akan jatuh pada malam yang ke-29 (hari Ahad, 28-Ogos-2011 malam Isnin)

2. Pendapat kedua (Sheikh Wahab) - malam Lailatul Qadar insya'Allah jatuh pada malam yang ke-21 (hari Sabtu, 20-Ogos-2011 malam Ahad)

Berikut adalah petikan dari kitab yang tersebut di atas (lampiran adalah dari kitab asal);
 
Dan adalah malam Lailatul Qadar itu pada Imam Syafie Radiyallahu’anhu tersimpan ia di dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadan tetapi pada malam “gasal” (ganjil) itu terlebih harap akan dia dan terlebih diharap daripada segala malam yang “gasal” (ganjil) itu malam yang dua puluh satu dan malam yang dua puluh tiga.

Dan yang “rajihnya” bahawasanya malam Lailatul Qadar itu melazimi ia akan malam yang tertentu maka tiada terpindah ia daripada seperti barang yang diriwayatkan daripada Abas bahawasanya malam Lailatul Qadar itu malam yang dua puluh tujuh kerana diambil daripada firman Allah ta’ala “Inna annzalnahu filailatul qdr” hingga “Salam mun hi ya” … maka bahawasanya kalimah “ hi ya’ itu dua puluh tujuh daripada segala kalimah surah ini dan iaitu kinayah daripada malam lailatul qadar dan atas perkataan inilah diamalkan pada segala masa, segala negeri dan iaitu mazhab kebbanyakan Ahli al-‘Ilmi.

Dan kata qil; “Bahawasanya malam lailatul qadar itu terpindah ia tiada tetap ia pada malam yang tertentu maka terkadang ia pada dua puluh satu dan terkadang ada ia pada malam dua puluh lima demikianlah dan atas perkataan ini menjalani dua ahli Sufi dan menyata mereka itu akan “dhabit” dan kaedah bagi yang demikian itu dan iaitu;

- jika adalah awal puasa pada hari Jumaat maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Sabtu maka itu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa pada hari Ahad maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Selasa maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa pada hari Rabu maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka malam lailatul qadar malam dua puluh satu

Dan telah memilih Imam Nawawi didalam  Majmu’ dan Fatawa akan qaul dengan berpindah dan katanya di dalam Raudah dan iaitu yang kuat. (Bajuri)

Dan tersebut di dalam Hasyiyah Fathul Wahab, maka;

- jika awal puasa pada hari Ahad atau hari Rabu maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa hari Selasa atau Jumaat maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa hari Sabtu maka iaitu malam dua puluh tiga malam lailatul qadar

Kata Abu Al-Husan: “Dan pada masa sampai aku akan tahun lagi-lagi tiada luput akan daku malam Lailatul Qadar dengan ini kaedah yang tersebut Barmawi dan Qalyubi”


Wallahu'alam

Sumber : Dari  Darussyifa'